Press Coverage

Mesin pelitup muka layan diri bantu Kerajaan Negeri lawan COVID-19 – Exco

Buletin Mutiara


PULAU TIKUS –
Penyediaan dua unit mesin penjualan pelitup muka layan diri di pusat beli-belah milik CapitaLand Malaysia disambut baik Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin.

Menurut Soon Hin, langkah tersebut merupakan inisiatif terbaik dalam membantu Kerajaan Negeri berdepan dengan pandemik COVID-19 yang mencabar ini.

“Saya melihat langkah ini merupakan satu inisiatif yang sangat membantu.

“Mesin ini dilihat mampu memberikan kemudahan kepada orang ramai terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti kompleks beli-belah, tambahan pula Pulau Pinang merupakan negeri yang terkenal dengan kunjungan pelancong.

“Perjalanan melawan COVID-19 bukanlah satu perkara mudah, namun ianya mampu dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama serta memainkan peranan masing-masing,” ujar beliau sejurus melancarkan dua mesin penjualan pelitup muka secara layan diri di sebuah pasar raya terkemuka dekat Persiaran Gurney 29 Ogos lalu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Iconic Worldwide Berhad, Datuk Tan Kean Tet dan Pengarah Eksekutif Iconic Worldwide Berhad, Jason Chung dan wakil dari CapitalLand Malaysia.

Difahamkan CapitaLand Malaysia dengan kolaborasi Iconic Worldwide Berhad turut menyediakan perkhidmatan sama di lima lagi lokasi berasingan.

Mengulas lanjut, Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata bahawa, dalam memastikan semua pusat beli-belah, hotel dan premis memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan, pihak Kerajaan negeri telah memperkenalkan program akreditasi penilaian melibatkan premis-premis berkaitan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melancarkan Jom Experience Penang sebagai langkah memulihkan sektor pelancongan pada akhir Julai lalu bersama-sama dengan beberapa persatuan pelancongan,” katanya lagi.

https://www.buletinmutiara.com/mesin-pelitup-muka-layan-diri-bantu-kerajaan-negeri-lawan-covid-19-exco/